#4 Mr. Bad Boy







“LAGU apa ni?”

“Badboy-Bigbang...”

“Korea? Hmph, tak nak lah.”

“Dengarlah dulu. Nanti tengok MV dia eh? Best!”

“Hmm.. okeylah.”

*******

Dia bukan budak jahat atau budak nakal. Cuma kalau ada yang cari pasal memang takkan lepas dari genggaman Ariq Nushi. Bukan dia yang cari musuh... tapi musuh yang cari dia. Bak kata pepatah, perigi cari timba... Macam sekarang, Ariq Nushi sedang berhadapan dengan empat orang penyangak yang Ariq Nushi sendiri tidak kenal siapa. Tiba-tiba datang menyerang. Bawa geng pula tu. Dasar pengecut!

“Kau nak apa hah?” bentak Ariq Nushi dengan nafas yang tercunggap-cunggap menahan amarah. Perut si Parut ditendang.

“Aku nak kau mampus macam abang kau!” si Hitam datang menyerang. Ariq Nushi dengan pantas mengelak. Hitam terhumban ke longgokan sampah. Ariq Nushi makin berang. Segala seni mempertahankan diri yang dia ada, dia keluarkan untuk melawan empat orang penyangak itu.

Si Galah menyerang dari belakang. Dia memeluk Ariq Nushi dengan erat. Hitam dan Manggis menyerang Ariq Nushi dengan menumbuk muka dan perutnya. Ariq Nushi mula mengganas. Muka Hitam disepak. Perut Manggis ditendang. Kepalanya menghentakkan kepalanya kebelakang. Hidung Galah menjadi sasaran. Cepat-cepat Galah menekup hidungnya. Dakapan terlepas.

Belum sempat Ariq Nushi ingin membuka langkah, siren polis kedengaran. Empat orang penyangak tadi cepat-cepat melarikan diri. Dasar pengecut! Ariq mengesat darah yang mengalir ditepi bibir. Tak pasal-pasal bibir dia pecah. Bodoh punya penyangak!

“Bro, kau okey?” soal Zubair sebaik sahaja mendapatkan Ariq Nushi.

“Kau lambat...” Ariq Nushi meninggalkan Zubair dibelakang.

“Sorry, dude. Perut aku meragam tadi.” Zubair memberi alasan. “Oh ya, siapa yang serang kau tadi?” Zubair memandang wajah sahabatnya itu.

“Entah. Tiba-tiba datang serang aku.” langkah Zubair sudah seiring dengan langkahnya. “Mana kau dapat bunyi siren polis tu?” tangannya dimasukkan kedalam poket. Berjalan dengan lagak macho. Acececeh.

“Dunia makin maju lah, bro. Aku baru download semalam. Tak sangka pulak hari ni dah boleh manfaatkan download-an aku tu. Memang bodoh lah empat ekor penyangak tu. Bunyi siren polis pun dah pecut.” Zubair menarik bibir ke kiri. Nak menyerang sangat, tapi bila dengar siren polis tahu pulak nak lari.

“Bodoh tak bodoh, kau bawa tak benda yang aku minta bawakan tu?”

“Buta eh? Yang kat tangan aku ni menatang apa?” Zubair mengangkat plastik ditangan kirinya.

“Lepastu, apa tunggu lagi? Siapa sampai lambat kena belanja makan!” Ariq Nushi cepat-cepat berlari meninggalkan Zubair dibelakang.

“Woiiiiiiiiiii... mana aciiii... tunggu aku!” kakinya laju menuju ke arah Ariq Nushi.

*******

Dah sejam menunggu tapi ikan tak juga muncul. Rasa nak menyanyi lagu si ikan kaloi pun ada. Ariq Nushi sudah makin bosan menunggu. Kalau macam ni lah gayanya, baik aku tidur kat rumah.

“Jampi apa yang kau serapahkan kat cacing yang kau bawak ni, Zu?” Ariq mengeluh. Biasanya kalau dia memancing, tak sampai setengah jam pun ikan dah makan umpan.

“Jampi pekebenda kau ni? Biasalah, memancing. Kadang-kadang tu 3 jam pun tak tentu lagi dapat ikan. Memancing ni perlukan banyak kesabaran...” kata Zubair. Matanya yang tadi memandang joran kini beralih pada wajah Ariq Nushi apabila mendapati sahabatnya itu mengeluh.

“Hidup kita ni kawan, penuh dengan cabaran. Banyak suka dukanya. Aku tahu kau agak tertekan dengan semua ni. Tapi kau kena ingat, Allah berikan kita dugaan mengikut kemampuan kita. InsyaAllah kau dapat tepis semua masalah kau tu selagi hati kau masih bersama Allah.” Zubair sudah mengeluarkan aura ustaznya. Sudah menjadi suatu tanggungjawab untuk dia menasihati sahabatnya itu.

“Tapi kenapa aku, Zu? Kenapa Allah pilih aku? Kenapa tak pilih orang lain? Aku pun nak kehidupan normal macam budak-budak lain juga. Kenapa mesti aku?” lirih suara Ariq Nushi berkata. Dia sudah penat. Penat dengan segala perkara yang menyakitkan fizikal dan mentalnya.

“Tak baik mempertikaikan takdir Allah, Riq. Kau insan terpilih. Allah pilih kau untuk hadapi semua ni. Sebab kau budak yang kuat. Budak yang tabah. Allah mendatangkan musibah kepada seseorang itu untuk menguji tahap keimanan hambaNya. Allah juga ingin mendekatkan diri Dia dengan hambaNya. Cuma hambaNya sahaja yang selalu lupakan Pencipta. Bila senang, lupa Allah. Bila dah susah mulalah nak salahkan Allah. Kenapa begitu, kenapa begini...” kata-kata Zubair itu membuatkan Ariq Nushi berfikir. Walaupun kata-kata Zubair itu agak makan dalam tetapi dia telah menyedarkan Ariq Nushi tentang itu.

“Thanks, Zu. Kau lah sahabat aku sampai mati.” Ariq Nushi senyum. Hatinya sedikit lapang mendengar nasihat Zubair tadi.

“Naaaaa...” Zubair menggeleng. “Aku bukan sahabat kau sampai mati... tapi sampai Jannah.” Zubair memeluk bahu Ariq Nushi.

“Terima kasih, Zu. Terima kasih.” tubuh Zubair ditarik kedalam pelukannya. Air mata terharu mengalir perlahan.

*******

Dengan rambut yang kucar-kacir macam baru lepas dilanda taufan, mata yang tertutup dek rambut yang serabai tu, mulut yang jelas lebam, baju yang selekeh terkeluar dari seluar sekolah. Itu imej Ariq Nushi di sekolah.

Tiada sesiapa pun yang berani dekat kecuali Zubair. Dia tak kisah. Dia datang ke sekolah untuk belajar bukan untuk bersosial atau apa. Oh, lupa pula gelaran yang diberikan kepadanya... ‘Ariq anti-sosial’. Pffft... macam apa entah gelaran tu. Tak vogue langsung.

Langkahnya dihalakan ke arah dewan. Perjumpaan ahli taekwando bertempat disana. Dengan mata yang terlindung oleh rambut itu dia memang tak dapat melihat dengan jelas. Dengan tak semena-mena, kakinya tersandung. Ops, bukan tersandung... tapi disandung oleh Ajmal Jambul. Dia rebah. Terdengar gelak tawa Ajmal Jambul and the geng berderai.

Kurang ajar! Marah Ariq Nushi dalam hati. Dia segera bangun dengan gaya berlipat. Alah, yang selalu Gikwang buat tu. Tak kenal Gikwang? Pak cik Google kan ada?

“Kau nak apa?!” lantang suara Ariq Nushi bertanya. Memang pantang betul kalau ada yang sengaja cari pasal.

“Wooo... garangnya... Lepaklah, bro.” Ajmal Jambul mengejek diikuti dengan gelak tawa dari Haikal dan Najmi. Ariq Nushi menggenggam penumbuk.

“Kau jangan sampai penumbuk aku ni sampai ke muka kau! Tak pasal-pasal kau makan guna straw nanti!” Ariq Nushi memberi amaran.

“Woooo.. takutnyaaaa...” Ajmal Jambul membuat mimik muka. Yang lagi dua orang sudah ketawa terbahak-bahak. Memang nak kena! Tanpa menunggu lama, muka Ajmal Jambul sudah terteleng ke kanan. Haikal dan Najmi sudah kecut. Wajah Ariq Nushi yang hanya kelihatan separuh sudah bertukar menjadi merah.

Ajmal Jambul membalas serangan dengan ingin menumbuk muka Ariq Nushi tetapi segera ditepis. Lututnya pula dinaikkan sedikit lalu menendang perut Ariq Nushi. Arik tertunduk senak. Haikal dan Najmi hanya menjadi penonton. Mereka hanya akan membantai Ariq Nushi hanya jika Ajmal Jambul arahkan. Ajmal Jambul ingin menyiku belakang Ariq Nushi tetapi suatu suara telah menghentikan perbuatannya.

“Wei!” Ana Dhaniyah menyergah.

“Alamak, ada heroinlah pulak!” Ajmal Jambul sudah berdiri sambil mencekak pinggang. Rambutnya yang berjambul dibetulkan. Pffft. Gaya lama.

Aqri Nushi yang tertunduk mengangkat kepala. Siapa pulak budak perempuan ni?

“Kau buat apa ni?” soal Ana Dhaniyah kasar. Muka garang semacam.

“Kau tak payah nak menyibuklah Ana! Ni urusan orang lelaki. Kau apa tau?!” Ajmal Jambul buat muka. Nak berdrama kat sini pulak si Ana ni!

“Sebelum aku jerit panggil Cikgu Ramli, baik kau blah!” Ana Dhaniyah menggertak. Siapa tak kenal Cikgu Ramli? Guru disiplin yang sangat tegas dan garang. Semua murid kat sekolah itu takut dan hormatkan Cikgu Ramli termasuklah si Jambul ni.

“Jeritlah. Aku tak takut...” Ajmal buat muka berlagak.

“Cikgu Ramliiiiiiiiiiii...” jerit Ana Dhaniyah. Ajmal Jambul cepat-cepat lari. Gila! Dahlah cikgu misai berpusing tu guru penasihat taekwando. Mahunya dia tak dengar kalau dah si Ana tu menjerit macam King Kong?

“Tau pun takut! Hmph!” cebik Ana Dhaniyah. Tangannya ditepuk-tepuk. Dia pusing menghadap Ariq Nushi yang masih tunduk memegang perut.

“Abang Ariq okey?” soal Ana Dhaniyah. Wajib bagi seseorang junior untuk memanggil senior dengan gelaran abang-kakak. Kalau tak, memang wajib juga seseorang junior itu dilabelkan biadab. Kalau dengan Ajmal Jambul tu lain kes lah. Nak beraku-kau pun orang tak label biadab.

Ariq Nushi diam. Tidak menjawab. Geram sebenarnya dengan budak perempuan ni. Dia cuba bangun perlahan-lahan. Tangannya memegang dinding untuk menampung berat badan. “Lain kali jangan masuk campur urusan orang!” Ariq Nushi memberi amaran. Perutnya masih dipegang. Senak yang semalam pun tak habis lagi, si Jambul tu pulak datang menambah.

“Bukannya saya nak masuk campur sangat pun. Tapi si Ajmal tu yang melampau sangat.” Ana Dhaniyah berkata geram. Tangannya dikepal-kepal. Ariq Nushi ingin berlalu, tetapi langkahnya terbantut apabila perutnya kembali senak. Dia mengaduh.

“Kenapa abang?” bulat mata Ana Dhaniyah. Memang teruklah si Ajmal tu kena nanti. Ariq Nushi membisu. Enggan membuka mulut. Kecohlah minah ni. Setelah dia berjaya menyeimbangkan diri, Ariq Nushi melangkah dengan perlahan sambil tangan kanannya memegang perut. Lokasi utama, BILIK SAKIT!

*******

“Orang nak tolong, dia buat sombong. Apa jenis orang lah macam tu?” Ana Dhaniyah mencebik. Geram dengan sikap senior Ariq! Tangannya memintal-mintal tali beg. Mulutnya masih terkumat-kamit marahkan Ariq Nushi, senior yang tak kenal budi!

Tiba-tiba, Ana Dhaniyah dapat merasakan bahawa setiap langkahnya diperhati dan diekori. Langkahnya semakin perlahan dan dia menoleh. Takde sesiapa pun. Hmm, perasaan aje kot...

Beberapa langkah kemudian, perasaan itu kembali hadir. Langkahnya dipercepatkan kemudian bertukar menjadi larian yang pecut. Dia segera bersembunyi dibelakang sebuah pokok yang besar. Matanya membulat apabila mendapati bahawa Ariq yang mengekorinya tadi. Ni mesti kes nak minta maaf.

“Kenapa ikut saya?” Ana Dhaniyah keluar dari tempat persembunyiannya. Hampir sahaja Ariq Nushi melompat dek kerana terperanjat.

“Saya nak pastikan awak selamat sampai ke rumah.” jelas Ariq sambil menghela nafas kerana penat berlari. Sewaktu dia berehat di bilik sakit tadi dia tiba-tiba terfikir kalau-kalau Ajmal Jambul tiba-tiba menyerang budak perempuan itu. Prinsip hidupnya, dia tak mahu orang lain susah kerana dirinya.

“Kenapa pulak?” soal Ana Dhaniyah. Dah sukarela nak jadi bodyguard ke?

“Manalah tahu tiba-tiba si Ajmal tu sekat awak kat tengah-tengah jalan.” Ariq Nushi menyatakan kebimbangannya. Ana Dhaniyah tersenyum.

“Ajmal tak akan berani buat apa-apa kat saya. Percayalah.” dia cuba untuk meyakinkan Ariq Nushi.

“Tak kiralah awak nak kata apa pun. Yang pasti saya nak awak selamat sampai ke rumah.” Ariq tetap dengan pendiriannya. Ana Dhaniyah mengangkat bahu. “Suka hati abanglah.” malas nak panjangkan cerita. Langkahnya kembali diaturkan. Ariq Nushi turut berjalan seiringan dengannya.

“Nama apa?” soal Ariq Nushi memecahkan kesunyian.

“Ana Dhaniyah.”

“Tingkatan?”

“Tingkatan tiga.”

“Kelas?”

“3 Amanah.” Ariq Nushi angkat kening. Budak bijak rupanya.

“Abang kelas mana?”

“5 Bestari.” kelas kedua. “Datang ke sekolah jalan kaki aje ke?”

“Biasanya naik basikal. Tapi basikal rosak, tu yang terpaksa jalan kaki. Haa, mana basikal abang? Selalunya saya tengok abang datang dan balik dengan basikal.”

“Ada, kat sekolah.” Ana Dhaniyah hanya mampu mengangguk. Dia sudah kematian ayat. Tak lama kemudian mereka sudah berada di hadapan rumah Ana Dhaniyah. Agaknyalah. Sebab itu aje rumah yang ada kat situ. Eh, dekat pulak rumah Ana Dhaniyah dengan rumah Ariq Nushi. Selang satu simpang aje.

“Siapa tu, Yaya?” soal Ariq Nushi sambil matanya memandang seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 50-an sedang memarut kelapa di beranda rumah.

“Yaya?” Ana Dhaniyah pelik. Dia menoleh kebelakang. Abang Ariq ni cakap dengan siapa?

“Yelah. Dhaniyah. Yaya. Dekat-dekat aje tu.” Ariq Nushi memberi alasan. Err, rasa macam sweet pulak panggil Ana Dhaniyah ni Yaya. Rasa manja semacam. Apa kena dengan Ariq Nushi ni ya?

“Suka hati abanglah. Tu mak Yaya.” dia menekan perkataan Yaya disitu. Matanya juga dibulatkan sedikit. “Assalamualaikum, mak.” Ana Dhaniyah memberikan salam.

“Assalamualaikum, mak cik.” Ariq Nushi juga turut memberi salam.

“Waalaikumussalam. Ana...” tangannya dikesat pada baju lalu menyambut tangan anaknya itu untuk bersalam. “Ni siapa Ana?” tanya Mak Cik Ros sebaik sahaja matanya bertemu pandang dengan Ariq Nushi.

Belum sempat Ariq menjawab, Ana Dhaniyah sudah membuka mulut. “Senior Ana kat sekolah.”

“Siapa nama?” Mak Cik Ros bertanya ramah.

“Ariq Nushi, mak cik.”

“Oh... tinggal kat mana?”

“Depan simpang sana...” Ariq Nushi menundingkan jarinya ke arah rumahnya. Atau lebih spesifik, rumah neneknya. Keluarga Ana Dhaniyah baru datang ke kampung ni ke? Tak pernah nampak pun sebelum ni.

“Laaa... Cucu Mak Embun ke? Tak nak naik dulu ke?” pelawa Mak Cik Ros.

“Eh, takpelah mak cik. Lagipun dah lewat ni. Solat Zohor pun belum lagi ni. Saya minta diri dulu, ya? Assalamualaikum.” Ariq Nushi mengundurkan diri. G-shock putihnya dikerling sekilas. Sudah pukul dua. Basikal pun tak sempat nak pergi ambil ni. Petang karang lah.

*******

“Yaya!” jerit Ariq Nushi. Ana Dhaniyah menoleh. Langkahnya dimatikan. Eh???

“Ada apa?” keningnya terangkat tatkala melihat seniornya sudah berada dihadapannya dengan basikal.

“Jom balik sama-sama.” Ariq Nushi senyum. Ana Dhaniyah makin pelik. Eh??? “Tak payahlah buat muka pelik macam tu. Saya cuma nak pastikan Yaya selamat sampai ke rumah aje.” lagi sekali alasan itu yang Ariq Nushi berikan.

“Err... suka hati Abang An lah.” Ana Dhaniyah meneruskan langkahnya.

“An?” tanya Ariq Nushi pelik. An?

“Yelah. Stands for Ariq Nushi. Kalau abang boleh panggil Yaya ni Yaya, Yaya pun boleh panggil Abang An, Abang An. Ya tak?” Okey, ayat berbelit. Ariq Nushi terdiam seketika.  Kemudian dia terangguk faham.

“Hmm... okeylah.” tanpa sedar senyumannya menguntum.

******

Hubungan antara Ariq Nushi dan Ana Dhaniyah sudah semakin rapat. Mana tidaknya, bila tamat waktu persekolahan, mesti mereka balik bersama-sama. Kalau Ariq Nushi ada kelas tambahan, mesti dia pergi temankan Ana Dhaniyah balik dulu. Kalau Ana Dhaniyah yang ada kelas tambahan, Ariq Nushi sanggup untuk tunggu sampai ke petang. Kadang-kadang Ana Dhaniyah rasa bersalah pula bila Ariq Nushi menjaga dia. Satu aje alasan yang selalu diberikan oleh Ariq Nushi. ‘Saya nak awak sampai ke rumah dengan selamat.’

“Yaya nak komen sikit boleh tak Abang An?” tanya Ana Dhaniyah sewaktu mereka pulang bersama-sama petang itu.

“Komen? Komen apa?” kening Ariq Nushi bertaut.

“Pasal rambut abang... panjang sangat sampai tak nampak mata. Tak handsome...” mulutnya dijuihkan. Komen yang jujur lagi ikhlas. Hahaha.

“Saya ada reason yang tersendiri kenapa saya simpan rambut panjang ke depan sampai tertutup mata.” Ariq Nushi senyum. Sebab yang sangat kuat!

“Reason konon. Ke nak tutup parut kat dahi...” Ana Dhaniyah berkata perlahan tetap sudah cukup untuk didengari oleh Ariq Nushi. Ariq Nushi senyum lagi.

“Parut? Mana ada...” Ariq Nushi menafikan dakwaan Ana Dhaniyah mengenai parutnya. “Tapi betul ni Yaya suruh saya potong rambut?” tanyanya.

“Nak potong ke, tak nak potong ke... itu hak Abang An. Lagipun Yaya bukannya ada kaitan dengan abang pun. Tapi Yaya nasihatkan Abang An supaya potong rambut tu. Lagi nampak kemas.”

“Okeyyy... Kalau macam tu, nantikan kehadiran Ariq Nushi dengan style rambutnya yang baru. Yaya jangan menyesal eh?” Ariq Nushi berseloroh sambil membetulkan rambutnya dengan bergaya. Macam iklan rejoice pun ada tapi tak cukup libasan sebab rambut tak cukup panjang. Ketawa berderai.

*******

“Ana Dhaniyah!” panggil Ariq Nushi. Waktu itu, waktu perhimpunan baru sahaja tamat. Ariq Nushi berjalan mendekati Ana Dhaniyah.

“Huh? Awak ni siapa?” Ana Dhaniyah memandang Ariq Nushi atas bawah. Tak kenallah aku...

“Itulah... rambut orang yang panjang, suruh potong. Lepas potong, buat-buat tak kenal pulak. Ni Abang An lah. Ariq Nushi.” Ariq Nushi memuncungkan bibirnya. Eh, sejak bila Ariq Nushi yang gangster ni pandai merajuk jiwang-jiwang segala ni? Gedik!

“Laaaa... Abang An ke? Yaya minta maaf. Serius, Yaya tak cam langsung abang. Wow, handsomenya!” Ana Dhaniyah cepat-cepat memohon maaf. Sempat lagi dia memuji Ariq Nushi pada akhir ayatnya.

“Yalah... saya kan takde apa-apa kaitan dengan Yaya. Memang patut pun Yaya tak cam saya.” Ariq Nushi bersuara ala-ala minta penampar. Ni, kalau musuh-musuh dia dengar Ariq Nushi cakap macam tu, mesti diorang takkan percaya yang ini Ariq Nushi yang handal melawan musuh.

“Hek eleh. Merajuk... Dahlah, Yaya ada kelas ni. Kalau nak minta Yaya pujuk abang, jangan haraplah.” Ana Dhaniyah pusing. Serentak itu dia menggigit bibir. Sekarang, dia tahu kenapa Ariq Nushi sengaja bela rambut panjang. Mata dia, seindah mata T.O.P-BigBang. Ah, rasa nak pengsan!

“Yaya, petang ni balik sekali eh?”

“Okey!” jawab Ana Dhaniyah tanpa menoleh. Hati rasa nak meletup sekarang juga! Oksigen, oksigen!

********


Ariq Nushi bin Adam. Anak seorang bekas tentera. Kematian ibu ketika berusia 10 tahun. Ada seorang abang tapi sudah meninggal dunia. Tinggal dengan nenek.

Kisah hidupnya berubah tatkala kematian abangnya. Abangnya, Amin Najdat seorang yang handal dalam seni mempertahankan diri. Dia juga seorang yang mudah melenting dan panas baran. Walau sedikit sahaja silap, pasti akan diwachaa olehnya. Berlaku banyak pergaduhan yang berpunca daripada sikap panas barannya itu.

Mungkin kerana dendam, dia mati. Kepalanya dihantuk dengan batang besi. Darah beku yang berada di dalam otaknya membuatkan Amin Najdat koma selama tiga hari sebelum menghembuskan nafas yang terakhir di katil hospital.

Selepas sebulan Amin Najdat meninggal, Ariq Nushi diserang pula oleh musuh arwah abangnya yang lain. Mungkin dendam masih tidak berbalas lalu mereka ingin melunaskan dendam mereka kepada Ariq Nushi. Tak dapat abang, dapat adik pun jadilah!

Ariq terlantar dihospital selama beberapa minggu kerana mengalami kecederaan yang serius. Selepas dia sembuh, Ariq Nushi terus belajar seni mempertahankan diri. Kebanyakan musuhnya juga merupakan musuh arwah abangnya. Kadang-kadang, Ariq Nushi sudah penat untuk menepis segala serangan mereka.

“Abang An, kenapa ni? Termenung jauh nampak.” sapaan Ana Dhaniyah mematikan lamunan Ariq Nushi. Rambutnya yang disapa angin petang dibiarkan tenang.

“Eh, Yaya. Takde apa lah.” bibirnya mengoyak senyum tetapi pahit pada pandangan Ana Dhaniyah.

“Iya ke takde apa-apa?” punggungnya dilabuhkan disisi Ariq Nushi. Tapi jangan bimbang, jaraknya masih ada. “Yaya tengok macam ada masalah aje.” Ana Dhaniyah menyambung kata-katanya.

“Betullah, takde apa-apa.” Ariq Nushi cuba meyakinkan Ana Dhaniyah. untuk apa pun dia tidak tahu. Hubungannya dengan Ana Dhaniyah sudah semakin rapat kerana mereka selalu pulang dari sekolah bersama. Malah, hubungan Ariq Nushi dengan keluarga Ana Dhaniyah juga rapat. Siap pernah makan tengahari bersama-sama lagi.

“Mana Lan?” soal Ariq Nushi sebaik sahaja dia mendapati adik lelaki Ana Dhaniyah tiada bersama.


“Ada, kat belakang semak tu. Tengah kejar pepatung tadi. Abang An macam tak tahu pulak yang budak Lan tu suka pepatung. Terjumpa aje, mesti nak kejar. Lepas dapat tangkap, dia lepaskan pulak. Bila ditanya, Lan mesti kata... ‘Kesianlah kat dia kalau Lan tak lepaskan dia. Mesti kawan-kawan dia sedih sebab dia kena tangkap.’” Ana Dhaniyah tersenyum sendiri. Tapi bagus juga, takde lah Lan menganiayai binatang.

Ariq Nushi menoleh ke arah semak yang dikatakan oleh Ana Dhaniyah. Lan tiba-tiba keluar dari arah tersebut. Ariq Nushi tersenyum kecil. “Hah, tu pun Lan.”

“Abang Ariq, Abang Ariq...” panggil Lan dengan nafas semputnya kerana tadi dia berlari. Wajahnya kelihatan cemas.

“Kenapa Lan?” soal Ana Dhaniyah. Risau pula bila dia melihat wajah Lan yang pucat.

“Lan nampak ada 3 orang lelaki nak datang sini. Muka diorang jahat. Diorang bawa kayu besar. Lan takut, Lan takut.” Lan gelisah. Dia memintal-mintal bajunya. Dia risau akan keselamatan mereka.

“Lan dengan Yaya balik dulu. Kalau boleh korang lari... Cepat pergi.” Ariq Nushi bimbang. Mungkin musuhnya yang datang. Dia tidak mahu keselamatan Yaya dan Lan tergugat. “Cepatlah!” arahnya lagi apabila Lan dan Yaya masih belum berganjak.

“Oh, kat sini rupanya diorang dating.” kata-kata itu disambut dengan tawa. Ariq Nushi sekali lagi menyuruh Yaya dan Lan beredar.

“Korang nak apa lagi?” bentak Ariq Nushi. Apa lagi yang si Hitam ni tak puas hati agaknya? Hari tu bawa badan aje, hari ni sampai bawa kayu? Haish!

“Tunggu apa lagi, seranglah!” arah si Hitam. Orang bawahannya segera menyerang. Kayu dihayunkan tapi Ariq Nushi menepis pantas. Ariq Nushi mengerling kelibat Yaya dan Lan yang sudah berlalu pergi. Bagus...

Satu demi satu serangan berjaya ditepis oleh Ariq Nushi namun satu hentakan pada kepalanya membuatkan gerakannya terbatas. Terasa cecair panas mengalir dari kepalanya. Darah. Matanya pula semakin berpinar dan kepalanya pusing.

“Woi!” hanya itu yang Ariq Nushi dengar sebelum pandangannya kelam.

*******

“Abang Ariq macamana Kak Ana? Teruk ke?” tanya Lan yang baru berumur 10 tahun itu. Matanya sudah bergenang tatkala melihat Ariq Nushi sedang terbaring kaku di tilam hospital dengan kepala yang berbalut.

“Tak, Abang Ariq okey. Abang Ariq tengah tidur tu. Dah, jangan cakap lagi. Nanti Abang Ariq tersedar pula.” Ana Dhaniyah berdalih. Hatinya juga turut tersentuh melihat keadaan Ariq Nushi. Entah apa salah Ariq Nushi sampai mereka sanggup memperlakukan dia sebegini rupa.

Menurut doktor, kepala Ariq Nushi pernah mengalami kecederaan. Kayu yang dihentak oleh samseng itu pula secara tidak sengaja telah mengenai luka yang sama lalu menyebabkan pendarahan. Luka pada kepalanya hanyalah luka kecil.

“Kamu semua tak payahlah risaukan si Ariq ni. Bukannya dia pengsan sebab apa. Dia pengsan sebab tengok darah.” Nek Embun bersuara. “Sejak abang dia meninggal, dia jadi takut dengan darah. Nenek pun tak tahu kenapa. Mungkin ketika abangnya meninggal, kepala arwah penuh berlumuran sampai dia pun naik gerun. Apa orang putih kata? Bobia? Popia? Entahlah, nenek pun tak reti nak menyebutnya.”

“Fobia, nek.” ujar Zubair yang dari tadi hanya membisu.

“Hah, fobia. Itulah yang aku nak cakapkan tadi.”

Ana Dhaniyah hanya mampu tersenyum mendengar celoteh Nek Embun. Hatinya masih bimbangkan keadaan Ariq Nushi. Dia berdoa agar Ariq Nushi cepat-cepat sedar dan cepat-cepat sembuh.

********

“Yaya, cuba dengar ni.” sebelah earphonenya dihulurkan kepada Ana Dhaniyah. Kepalanya sudah semakin baik dan balutan boleh dibuka dua atau tiga hari lagi.

Ana Dhaniyah mencapai earphone yang dihulurkan oleh Ariq Nushi.

geunal bameun naega neomu simhaesseo
niga jinjjaro tteonagal jureun mollasseo
naega mianhae i mal hanmadi
eoryeowoseo urin kkeutkkaji ga nae
seonggyeogi deoreowoseo
maldo an doeneun illo datugireul
haruedo susip beon
neon ulmyeonseo ttwichyeonaga
nan juwireul duribeon
dasi doraogetji naeirimyeon bunmyeong
meonjeo yeollagi ogetji achimimyeon

“LAGU apa ni?” soal Ana Dhaniyah. Dahinya berkerut. Dahlah suara tu macam sengau aje. Best kat mananya lagu ni?

“Badboy-Bigbang...”

“Korea? Hmph, tak nak lah.”

“Dengarlah dulu. Nanti tengok MV dia eh? Best!” Ariq Nushi memujuk.

“Hmm.. okeylah.” Ana Dhaniyah mengalah.

********

Kali ni dah masuk tujuh kali Ana Dhaniyah mengulang lagu dan video yang sama. Dia tak juga jemu-jemu. Ah, sudah! Dah parah sangat dah ni... ni semua Abang An punya pasallah. Paksa sangat orang dengar dan tengok video muzik orang korea ni. Tiba-tiba rasa menyesal pulak mengutuk G-Dragon bersuara sengau. Okey, saya minta maaf!

Telefon bimbitnya yang menjerit minta diangkat dibawa ke telinga.

“Hello, assalamualaikum.” bibirnya menguntum senyum apabila suara Ariq Nushi menyapa di telinganya. Salam dijawab.

“Abang An macam nak perli diri sendiri aje bagi Yaya dengar lagu Bad Boy ni.” komennya. Tapi lirik disebalik lagu Bad Boy ni bukan merujuk kepada diri Ariq Nushi pun sebenarnya. Bad Boy lagu untuk orang playboy. Abang An pula bukan jenis yang macam tu.

“Iya ke? Saya cuma suka dengar lagu dia aje. Takde kaitan dengan yang hidup dan yang mati. Harap maklum.” ketawa Ariq Nushi pecah.

“Eleh, iya lah tu.” Ana Dhaniyah mencebik. “Boleh tak kalau Yaya nak panggil abang Mr. Badboy?” Dia tiba-tiba tersenyum. Dia sudah dapat satu cara untuk mengenakan Ariq Nushi.

“Laaa.. kenapa pulak? Abang ni jahat sangat ke sampai Yaya kena panggil abang macam tu?” tanyanya sedikit berkecil hati. Yalah, aku tak sebaik orang lain. Hmph!

“Jahat... jahat sangat. Eee.. orang jahat pun tak sejahat abang tau?!” Ana Dhaniyah ketawa dihujung talian. Seronok mengenakan Ariq Nushi.

“Buktinya?” soal Ariq Nushi sepatah. Macam takde bukti aje yang Ana Dhaniyah dapat kemukakan untuk menggelarkan dia Mr. Badboy.

“Buktinya, abang selalu curi-curi pandang Yaya. Abang temankan Yaya balik dan sengaja cakap yang abang nak Yaya selamat sampai rumah. Cukup tak bukti tu, abang?” Ana Dhaniyah menggigit jarinya. Keterlaluan tak?

“Hello, hello... abang...” panggil Ana Dhaniyah sebaik sahaja mendapati bahawa Ariq Nushi tidak menjawab pertanyaannya. Dah tidur ke? Ana Dhaniyah memandang skrin telefon bimbitnya. Tanda seperti Ariq Nushi memutuskan talian. Amacam, bang? Sentap? Hehehe. Ana Dhaniyah tersenyum puas.

*******

Ariq Nushi bergolek-golek diatas katil. Menyesal pun ada bila dia memperkenalkan lagu itu kepada Ana Dhaniyah. Yang dia pulak? Kenapa sampai nampak sangat bila dia curi-curi pandang Yaya? Haish, tak macho langsunglah kau ni Ariq! Dia menekup wajahnya dengan kedua-dua belah tangannya. Rasa nak menjerit sepuas hati tapi takut Nek Embun yang latah terperanjat pula. Malu. Hanya itu yang boleh menyatakan perasaannya. Macamana dia nak berhadapan dengan Ana Dhaniyah selepas ini pun dia tidak tahu. Yaya, kenapa bagitau abang bukti yang memalukan tu? Eh, abang? Hahaha. Dia rasa nak ketawa pula. Sejak bila dia pandai bahasakan dirinya abang? Setakat saya-Yaya tu adalah. Ariq, Ariq. Parah sungguh!

********

“Abang An!” panggil Ana Dhaniyah. Ariq Nushi yang terpandang Ana Dhaniyah segera berpaling membelakangi gadis itu lalu melangkah laju kehadapan. Dia malu.

“Abang An! Hei, kenapa ni?” baju sekolah yang tersarung kemas di badan Ariq Nushi ditarik dari belakang. Ariq Nushi menghentikan langkahnya. Mahunya baju dia tertanggal kalau si Yaya ni tarik dengan sehabis tenaga. Ana Dhaniyah menarik bahu baju Ariq Nushi supaya mereka berdiri setentang. Ariq Nushi pusing sambil tertunduk. Ana Dhaniyah makin hairan. Tak pernah-pernah Ariq Nushi sebegini.

“Kenapa ni?” soal Ana Dhaniyah. Wajahnya ditundukkan untuk melihat wajah Ariq Nushi. Ariq Nushi pula cepat-cepat menutup wajahnya. “Ya Allah, abang ni kenapa?” rasa nak tergelak pun ada bila Ariq Nushi buat muka malu macam tu. Macam gadis melayu terakhir pun ada.

“Saya tak nak cakap dengan Yaya. Saya kan jahat.” katanya lirih sambil tangannya menutup muka. Bukannya dia terasa pun, tapi malu.

“Alah, Abang An... Chill lah. Yaya gurau aje pun.” kata Ana Dhaniyah sedikit memujuk. Tak sangka pula sampai Ariq Nushi mogok tak nak bercakap dengan dia.

“Gurau pun gurau juga. Tapi mestilah bertempat.” Ariq Nushi berkata lalu berpusing seterusnya meninggalkan Ana Dhaniyah di belakang yang menggaru kepalanya yang tidak gatal.

******

“Aku tak suka kau rapat dengan budak tu.” Ajmal Jambul menyatakan ketidakpuasan hatinya.

“Suka hati aku lah nak rapat ataupun tak. Yang kau sibuk sangat ni kenapa?” marah Ana Dhaniyah. Sesedap oren dia aje nak tentukan hidup aku.

“Ana, kau tu sepupu aku. Dah jadi tanggungjawab aku untuk menyedarkan kau yang kau dengan dia tu tak sepadan. Lagipun perangai dia tu tak elok. Selalu cari gaduh dan cari masalah.” Ajmal Jambul cuba untuk memburukkan nama Ariq Nushi.

“Dia ke kau yang selalu cari gaduh dan cari masalah? Sudahlah, Mal. Pertandingan taekwando tu dah lima bulan berlalu kau tahu tak? Dah bukan rezeki kau untuk masuk bertanding nak buat macamana. Aku tak fahamlah dengan kau ni Ajmal. Abang Ariq tu tak jahat macam yang kau selalu cakapkan. Dia baiklah. Cuma kau aje yang buta menilai kebaikan orang.” Ana Dhaniyah melepaskan kemarahannya.

Memang dia tahu krisis antara Ajmal Jambul dan Ariq Nushi. Ajmal Jambul tak puas hati apabila namanya tidak terpilih untuk memasuki pertandingan taekwando peringat sekolah tetapi nama Ariq Nushi yang dipilih. Sejak daripada itulah dia mula memusuhi Ariq Nushi. Kolot sungguh pemikiran Ajmal Jambul ni. Dah cikgu tak nak pilih dia, redha aje lah. Memang Ariq Nushi lagi handal dalam seni mempertahankan diri ini berbanding dia. Manusia, manusia.

“Kau diam lah!” bentak Ajmal Jambul bengang. Kata-kata dia tadi sudah terkena pada hidungnya sendiri.

*******

Zubair gelisah. Dia harus! Eh, bukan... dia WAJIB! Dia wajib untuk memberitahu Ariq Nushi tentang itu. Dia tidak mahu sahabatnya itu hanyut. Dia tidak mahu... Tapi bagaimana dia mahu memulakan ayat? Ergh! Buntu!!!

Dengan lafaz bismillah, Zubair melangkah merapati Ariq Nushi yang sedang mengulangkaji pelajaran di tepi sungai tempat mereka lepak. Okey, tempat yang agak tak strategik untuk belajar. Tapi diorang peduli apa? Bagi mereka, tempat itulah tempat yang paling tenang dan sesuai untuk melepaskan perasaan.

“Assalamualaikum, bro!” Zubair melabuhkan punggungnya di sebelah. Ariq Nushi terjungkit bahu. Terkejut kut tiba-tiba ada orang kat tepi. Salam dibalas sambil mengurut dadanya perlahan.

“Kepala kau dah okay?” soal Zubair sambil membelek lembut balutan pada kepala Ariq Nushi.

“Alhamdulillah. Dah okay. InsyaAllah lusa boleh buka balutan.” Ariq Nushi menutup bukunya. Tinggal tiga bulan aje lagi nak SPM. Rasa macam tak cukup nyawa mengejar masa untuk belajar matapelajaran yang banyak tertinggal.

Suasana menjadi sepi seketika. Zubair dengan perasaan bersalahnya untuk berterus terang dengan Ariq Nushi manakala Ariq Nushi kekeringan idea untuk bercakap pasal topik apa.

“Riq...”

“Hmm...”

“Aku ada satu benda nak cakap kat kau ni...”

“Cakaplah...”

“Kau janji kau tak akan kecil hati atau mogok tak nak cakap dengan aku lepas ni?!”

“Erm, based on kau punya cakap.”

Zubair menarik nafas sedalam-dalamnya. Aku wajib!

“Kau sayang aku kan?”

“Kalau tak sayang, dah lama aku campak kau kat dalam sungai ni...”

“Kau sayang Ana kan?” soalan Zubair itu membuatkan Ariq Nushi terkaku. Erk! “Kau tak perlu cakap pun tak apa, Riq. Aku tau kau sayang dia.”

“Kau nak cakap apa sebenarnya ni, Zu? Tak payah nak kias-kias lah. Aku tak faham.”

“Aku tahu kau sayang Ana dan aku nak kau tahu yang aku sayangkan kau. Aku nak cakap benda ni sebab aku nak kau jaga hati kau elok-elok. Bukan aku nak cakap yang aku ni baik.. tapi seelok-eloknya kita jauhi perkara yang boleh mendatangkan keburukan.” Zubair menarik nafas panjang.

“Apa yang aku nak tekankan dalam percakapan aku nanti adalah tentang pergaulan. Aku bukan nak halang kau dengan Ana berjumpa... tapi aku tak nampak apa kepentingan kau untuk kau berjumpa dengan Ana. Tak manis dipandang, Riq. Kau kena ingat. Kalau korang berdua, pasti ada yang ketiga iaitu syaitan. Macam-macam perkara yang tak elok boleh berlaku.

“Aku bukan bajet baik tegur kau pasal ni. Tapi sekurang-kurangnya beban dalam dada aku kurang apabila kau tahu yang pergaulan ni sangat penting dalam Islam. Bukan nak kata yang Islam memang melarang bagi kaum lelaki dan perempuan untuk berkomunikasi. Tapi, untuk berkomunikasi pun kena ada sebabnya. Contohnya, jual beli... study group, dan benda-benda yang berfaedah atas alasan kerja. Bukannya saja suka-suka bercakap atau bergurau senda.

Allah s.w.t memberi peringatan di dalam firman-Nya dalam Surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud: “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka menyekat pandangan mereka daripada memandang yang haram…”

Ayat yang aku sebutkan tadi menunjukkan bahawa kita hanya boleh memandang seseorang yang berlainan jantina sekadar yang perlu sahaja. Pandangannya pula tidak keterlaluan atau memandang melampaui batas sehingga menerbitkan hawa nafsu sesama sendiri. Hanya dengan pandangan saja kita percaya hawa nafsu akan menguasai dan syaitan mudah menggoda akhirnya mendorong kita ke arah kancah maksiat.

Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Dari hadis ini, kita dapat membuat kesimpulan bahawa Allah melarang pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat-tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.” Zubair menyudahkan penjelasannya dengan memberi sedikit kesimpulan berdasarkan hadis yang diberi.

“Tapi... setiap kali kami berjumpa, Lan mesti ikut sekali.” kata Ariq Nushi perlahan. Otaknya cuba mencerna apa yang disampaikan oleh Zubair tadi. Ya. Dia tahu dia telah melakukan kesilapan. Kesilapan dengan berdua-duaan dengan Ana Dhaniyah tanpa sebab musabab yang jelas dan kukuh.

“Aku tahu.” Zubair mengangguk. Wajah Ariq Nushi dipandang. Hatinya bertambah lega apabila dia mendapati bahawa wajah Ariq Nushi masih tenang walaupun dahinya sedikit berkerut. Mungkin masih memikirkan apa yang ingin dia sampaikan tadi. “Tapi mulut orang Riq... kita tak boleh nak tutup. Mungkin ada yang tak nampak yang Lan tengah kejar pepatung. Sebab tu seeloknya, perkara yang mendatangkan syubhah kita hindarkan. Kau faham maksud aku kan?” Bahu Ariq Nushi ditepuk perlahan.

“Aku faham.” Ariq Nushi mengangguk. “Terima kasih Zu sebab kau tolong sedarkan aku.” Dalam hatinya cuba memasang tekad. Tekad untuk menjauhi Ana Dhaniyah kerana tiada sebab untuk dia terus mendekati gadis itu.

*******

“Abang An!!!” panggil Ana Dhaniyah sambil menyaingi langkah Ariq Nushi. Ana Dhaniyah baru sahaja tamat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) lima minit yang lepas. Wajah yang mahu dilihatnya adalah Ariq Nushi kerana sudah lebih daripada seminggu lelaki itu menjauhi diri daripadanya. Mahu memujuk, dia pun sibuk dengan persiapan untuk menduduki peperiksaan.

Ariq Nushi menghentikan langkahnya. Pandangannya ditalakan ke lantai sebelum beralih pada wajah Ana Dhaniyah. “Macamana exam?” tanyanya.

“Alhamdulillah, okay.” Ana Dhaniyah senyum. Suasana kembali sunyi.

“Yaya..”

“Hmm???” keningnya terangkat.

“I’ve got something to say.”

“Apa?”

“I think we should stop it.” datar sahaja suara Ariq Nushi berkata sedangkan hatinya sedang berperang hebat dengan perasaan.

Ana Dhaniyah terkaku. Mati senyuman pada wajahnya tadi. “Stop? Stop what?”

Ariq Nushi menarik nafas panjang sejenak. “We stop talking, meeting and pretend we never knew each other.” mulutnya lancang sahaja menyebut perkataan itu tetapi hatinya bergetar hebat. Tidak dapat dia bayangkan bagaimana hidupnya tanpa gelak tawa gadis itu. Gadis yang dicintainya dalam diam.

Hati Ana Dhaniyah seperti disambar petir. Dia silap dengar atau dia bermimpi? Dia menggeleng. Tidak. Dia bukan silap dengar. Dia bukan bermimpi. Ini adalah realiti. Realiti yang pahit dan menyakitkan?

“Kenapa?” matanya berkaca. Siapa yang tak sebak kalau orang yang rapat dengan kita tiba-tiba mengeluarkan kata-kata yang sebegitu pedih?

“Saya tak layak nak kawan dengan awak. Awak baik, saya pulak... macam yang awak cakap... jahat. Saya minta maaf kalau sepanjang perkenalan kita saya ada buat silap. Terima sebab sudi berkawan dengan saya selama tempoh lima bulan ni. Saya hargai sangat-sangat.” Ariq Nushi menghabiskan ayatnya sebelum berlalu pergi. Dia bimbang kalau Ana Dhaniyah melihat air matanya menitis nanti.

Wajah Ana Dhaniyah sudah dibasahi air mata. Tidak dia menyangka bahawa persahabatannya dengan Ariq Nushi hanya setakat ini sahaja. Sampai hati Ariq Nushi membuat dia begini. Tubuh Ariq Nushi yang berlalu pergi dipandang dengan penuh sayu.

“Abang An.” serunya. Langkah Ariq Nushi mati. Dia tidak pula menoleh. Hanya menunggu kata-kata yang bakal terucap dari bibir gadis itu.

“Good luck SPM.” ucap Ana Dhaniyah dengan suara yang sedikit sengau kerana menangis. Ariq Nushi memejamkan matanya sesaat sebelum mengatur kembali langkahnya.

*******

“Kau ni, aku nak kata bodoh kau marah pulak!” marah Zubair. Apalah yang tak kena dengan budak Ariq Nushi ni?

Ariq Nushi hanya membisu. Daripada dia bertikam lidah dengan Zubair, lebih baik dia melayan perasaannya.

“Hish, tak faham betul aku dengan kau ni! Aku hanya nasihatkan kau pasal pergaulan aje. Takdelah sampai kau perlu putuskan silaturahim kau dengan Ana! Kusut betullah aku dengan kau ni!” mahu sahaja Zubair menyepak pak cik yang berada di hadapannya itu laju-laju. Faham tak maksud geram tu apa?

Melihatkan Ariq Nushi masih berdiam diri, Zubair pantas mendekati. Bahu Ariq Nushi digoncang kuat. Biar dia sedar sikit!

“Sakitlah!” ujarnya perlahan sambil cuba merungkaikan cengkaman Zubair dari bahunya. Macam nak dibahamnya aje si Zubair ni.

“Kau percaya takdir Allah kan?” tanya Ariq Nushi perlahan. Perlahan-lahan Zubair melabuhkan punggung dibelakangnya. Mereka bersandar antara satu sama lain.

“Hmmm...”

“Kau percaya yang jodoh, pertemuan, ajal dan maut tu Allah yang tentukan, kan?” tanya Ariq Nushi lagi.

“Kau tak patut putuskan persahabatan kau dengan Ana, Riq. Kesian dia.” suara Zubair kembali lembut. Tidak sekasar tadi.

“Kalau Ana tu jodoh aku, tak kemananya dia, Zu. Percayalah. Aku buat semua ni pun untuk elakkan daripada sesuatu yang buruk berlaku. Aku tak nak kalau aku semakin hanyut apabila bersama Yaya.” tenang Ariq Nushi berkata.

Ariq Nushi sudah meletakkan segala-galanya kepada Allah. Umurnya masih muda untuk memikirkan soal jodoh. Walaupun hatinya telah terpaut pada Ana Dhaniyah, namun dia sanggup untuk memutuskan perhubungan mereka untuk mendapat keredhaan Ilahi. Bagi pandangannya, mungkin layanan yang diberikan kepada Ana Dhaniyah hanya berlandaskan kawan semata-mata. Tetapi pandangan masyarakat, mungkin mereka dianggap sebagai pasangan kekasih. Untuk mengelakkan daripada zina hati, zina mata, zina telinga dan zina yang terbesar berlaku lebih baik dia memutus sahaja perhubungannya dengan Ana Dhaniyah walaupun Zubair melarang keras.

Kalau sudah jodohnya dengan Ana Dhaniyah... tidak kemana. Dia hidup pun bukan Ana Dhaniyah yang bagi nyawa tetapi Allah. Selagi hati percaya dan yakin terhadap Allah... InsyaAllah hidupnya akan dipenuhi barakah nanti. InsyaAllah.





 p/s : saya tak hebat dalam bidang tarbiyah tapi saya cuba untuk menerapkan unsurnya didalam cerpen ini. mohon maaf sekiranya ada terlancang bicara. komen anda amatlah diperlukan. :)





Comments

  1. hope ada mr bad boy 2. nak tau dorang tu berjodoh ke tak. hee. ;) nice try buat cerita camni. Suka effort awak part nak masukkan unsur tarbiyah tu. Moga niat baik awak sampai ke hati pembaca.

    ReplyDelete
  2. mcm tergantung jew... Ad smbungn kew...?? Arap3 ad smbungn ... Hehe ..:)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cinta untuk Tuan Muda

Mr. Bad Boy 2